Friday, December 3, 2010

OrAngbArU

ASSALAMMUALAIKUM,

Lama betui saya tidak menulis, tetiba terdetik nak menitip sedikit catitan.
Dalam beberapa bulan ini banyak yang berlaku dalam hidup. 5 September lalu, kami sekeluarga menerima orang baru, AIRIS ARISSA dilahirkan 10.50 pagi di Pusat Rawatan Putra Darul Aiman, Sungai Buloh.
Alhamdulilah saya dan baby sihat, namun sehari selepas dilahirkan Airis disahkan G6PD. Apa itu G6PD?G6PD adalah penyakit keturunan apabila seseorang itu mengalami masalah kekurangan enzim Glukos 6-Fosfate dihidrogenes.
Kekurangan enzim G6PD ini menyebabkan sel darah merah mengalami hemolisis iaitu pecah dan menyebabkan anemia (kekurangan darah).
Apa pun sehingga kini, Airis sihat walaupun selepas empat hari dilahirkan, si comel saya itu kena jaundis (kuning). Airis dirawat selama seminggu di pusat rawatan malah kami sekeluarga berhari raya di hospital.
Menitis air mata saya apabila pagi raya bayi comel saya duduk di bawah sinaran lampu merawat kuningnya.
Lebih sayu hanya dengan lampin pakai buang dan dibalut dengan selimut hijau, Airis di serahkan kepada saya untuk kami sekeluarga dibiar meluangkan masa bersamanya.
Apa pun, kami semua gembira berhari raya dengan kehadiran si comel Airis. Memandangkan kami tidak pulang ke kampung, sambutan kali ini sangat berbeza, tambahan saya masih sakit dan berpantang.
Persiapan raya tetap di buat, satu kelebihan pada saya, dapat membuat persiapan raya dan masak rendang ayam walaupun empat hari baru melahirkan kerana baby Airis masih di hospital.
Mr Hubby banyak membantu dan sambutan hari raya tetap berjalan seperti biasa, masih ada rendang ayam, nasi impit dan lodeh serta lemang (Mr Hubby beli) dan serunding.
Pada saya adalah tak adil, jika keluarga tidak menyambut hari raya dengan suasana hari raya sebenar hanya kerana saya baru melahirkan dan masih dalam pantang.
Saya bagitau Mr Hubby, persiapan raya mesti diteruskan walaupun kami beraya berempat di rumah sendiri. Tidak adil kepada Aireen yang pertama kali berpuasa penuh tahun ini (Go girl - kakak memang anak yang baik dan mudah dibentuk, tahniah kerana dapat puasa penuh walaupun satu hari tu dia terlupa dan makan yogurt kegemarannya).
Pengalaman mendapat baby kali ini seakan baru pertama kali mengandung dan melahirkan. Banyak perkara yang saya sudah lupa memandangkan hampir empat tahun saya 'berehat' mengandung.
Lagipun, ini tahun pertama saya melahirkan tanpa mak kesayangan di sisi membantu, menasihat dan membimbing ketika berpantang.
Nasib baik ada adik, mak mentua, kakak, sepupu, ipar, biras dan kawan-kawan yang memberikan tunjuk ajar serta nasihat. Terima kasih semua.
Pengalaman mengandung kali ini pun berbeza daripada ketika mengandungkan kakak dan abang.
Kali ini juga pertama kali mengandung tanpa Mr Hubby di sisi kerana kami terpaksa berjauhan akibat tuntutan kerja. Sehingga saat di masukkan wad pun saya masih memandu sendiri.
Semua ini banyak mengajar saya berdikari sementelah kandungan pun tidak banyak masalah dan saya pun sihat sepanjang mengandung. Allah itu ada perancangannya untuk saya, jika Mr Hubby di sisi mungkin saya terlebih mengada-gada nanti atau semua mengharapkan dia.
Justeru, saya panjatkan syukur semuanya berjalan baik dan Mr Hubby tetap menjadi peneman di labour seperti biasa memberi kekuatan dan meringgankan kesakitan hendak bersalin.
Syukur ya Allah, ya Tuhan ku, Amin. Alhamdullilah dan esok genap tiga bulan usia Airis yang semakin bijak dari hari ke hari.
Jika dulu mesti merenyek setiap kali matanya terbuka di waktu pagi , kini selepas dibebel banyak kali supaya jangan menangis, kini dia senyum dan gelak je bila nampak muka mama dia.
Menjadi kesayangan ramai, Airis kini dirindui semua termasuk abang, kakak, bapak dan mama pastinya.
Bersama ini dititipkan foto si comel Airis Arissa saya;





Lima jam selepas dilahirkan



Usia dua bulan




Gambar masa Aidiladha