Friday, September 4, 2009

Ramadan di Makkah dan Madinah

Masjidil Haram
Masjid Nabawi, Madinah

Assalamualaikum,
Saya baru terbaca satu blog yang diperkenalkan mona kelmarin mengenai pengalaman rakyat kita yang bertugas di Makkah. Banyak gambar Makkah yang saya lihat.
Saya pernah merasai pengalaman berpuasa di kedua-dua kota suci berkenaan bermula dua puasa hingga 15 Ramadan pada 2000.
Menitis air mata saya mengenangkan pengalaman cukup bermakna itu tambahan pula terkenangkan mak dan mak teh yang bersama menunaikan umrah. Al fatihah untuk keduanya yang telah pulang ke Rahmatullah.
Banyak kenangan manis saya dgn mereka berdua di sana. Bagaimana Allah berikan kudrat untuk saya memapah mak teh di Makkah, dan betapa sihat dan cergas serta berseleranya mak makan ketika berbuka dan sahur di sana. Energynya lain macam masa di sana.
Saya pula yang tidak sihat sebab selsema, batuk dan demam. Arwah mak teh pula sakit kaki sebab baru tiga bulan excident dilanggar kereta.
Di sana saya belikan macam-macam ubat untuk mak teh, belikan kerusi untuk mudah dia beribadat dan syukur dia bawa tongkat, mudah nak berjalan. Saya terfikir nak belikan wheel chair tapi ongkas tak cukup.
Namun, sepanjang di Mekah kesihatan mak teh bertambak teruk, ada masa bila nak ke masjid saya papah macam angkat badannya sebelah, saya pun tak tahu mana kekuatan itu boleh hadir. Tapi balik umrah saya memang lost weight dekat 5 kilo. Lagipun, bila sampai pertengahan puasa cuaca mulai sejuk dan berangin selain hujan kerap turun pada sebelah malam dan umat Islam mulai ramai mengerjakan umrah.
Masih terbayang-bayang wajah ceria arwah mak di sana, arwah sangat happy sepanjang menyerjakan umrahnya. Katanya, beliau tidak sabar nak pergi haji dan minta saya kumpul duit supaya boleh bawanya ke Makkah untuk buat haji.
Arwah pernah berkata, pengalaman umrah banyak membantunya mengerjakan haji dua tahun kemudian (2002). Saya tak ke Makkah menunaikan haji bersama mak kerana ongkosnya tak cukup tetapi saya bangga kerana dapat menghantarnya ke sana untuk menunaikan haji.
Arwah mengerjakan haji ketika musim ramai yang terkandas di Mina. Cerita arwah, beliau berjalan kaki untuk balik ke kem kerana traffic jem teruk dan beliau terpisah daripada rakan yang lain. Namun, ceritanya, beliau tidak pernah gentar atau takut walaupun terpisah kerana sudah ada pengalaman berada di tanah suci ketika umrah. Arwah mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada saya kerana membawanya pergi umrah.
Pada saya yang penting saya dapat mengembirakan emak, tak perlu pun ucapan terima kasih daripada beliau.
Bercerita mengenai Ramaadan selama 14 hari di sana, apa yang boleh saya katakan sangat happy walaupun letih dan demam.
Makanan maha mewah di sana. Cakap saja apa yang hendak di makan pasti ada, tetapi masak tempoyak atau benda yang lazim ada di Malaysia sukar sikit nak jumpa.
Pengalaman yang tidak boleh dilupakan, saya bercakap dengan arwah mak selepas solat zohor di hotel, yang saya teringin nak makan pisang dengan roti dan yogurt.
Tidak sampai 15 minit selepas itu ketika berjalan bertiga pergi ke Masjidil Haram untuk menanti solat Asar, seorang remaja lelaki menghulurkan satu plastik berisi pisang bersama roti (bentuk macam donut tetapi saiz pinggan) bersama yogurt mangga kalau tak silap saya. Alangkah terkejutnya saya masa itu dan apabila tiba di masjid, saya menunjukkan bungkusan plastik itu kepada arwah mak, dan arwah berkata bahawa apa saja niat baik kita dimakbulkan Allah. Begitu juga kalau berniat jahat yang kita lakukan di sana pastinya akan menerima balasan beberapa ketika kemudiannya. Saya pun ada merasai pengalaman ini, apabila menyumpah (tetapi dalam hati -, peniaga Arab yang sangat sombong ketika saya tiba di kedainya ketika berjalan balik daripada masjid), beberapa meter daripada kedai itu saya tersilap langkah dan tersadung di tepi tangga, sakit juga tulang kering kaki, melecet dan berdarah, nasib baik kepala tidak terhentak dan berdarah.
Banyak lagi kisah doa dan permintaan saya dikabulkan Allah di tanah suci tetapi saya tidak bercadang berkongsinya di entri ini. Biarlah saya yang tahu.
Bercerita mengenai Ramadan di sana, di siang hari dari pagi sehingga sebelum Zohor keadaannya tenang sekali, kenderaan pun kurang, ini kerana warga Makkah akan tidor atau berehat atau beribadat di rumah masing-masing kerana cuaca sejuk bercampur terik matahari. Apabila Zohor tiba, maka berduyun-duyun mereka keluar bersolat jemaah sehingga ke tepi jalan dan kedai-kedai.
Paling meriah ketika Ramadan adalah waktu malam. Malam seumpama siang dengan hiruk pikuk kota yang terang benderang. Malah istana Raja bersebelahan Masjidil Haram sangat berkilau kilauan dengan cahaya lampu.
Fastfood jangan cakaplah, memang ramai orang dan orang Arab ini boleh order banyak2 kerana mereka memang kuat makan.
Kebab kalau nak beli beratur panjang begitu juga samosa dan jus buahan segar yang dijual RM3 satu cup kecil (kaw giler jus dia termasuk nenas dan oren).
Jelasnya, Makkah bagaikan berpesta apabila tiba malam hari, bukan hanya cahaya dan kesibukan orang ramai tetapi makanan dan jualan barang lain sangat meriah.
Roti yang saya kata macam donut itu berlambak-lambak dan diedarkan dengan di campak-campak je (tak ada plastik pun sesetengah tu) kepada orang ramai yang lalu lalang di tepi jalan.
Seperti di Malaysia juga, di sana pun banyak peminta sedekah, mungkin mereka tahu Makkah sangat mewah apabila Ramadan tiba.
Ketika di Madinah, saya melihat wanita berjubah hitam dengan tudung berikat serta muka berconteng, mengutip roti yang disedekahkan dan dimasukkan dalam plastik hitam seperti plastik sampah. Yang peliknya walaupun dah dapat banyak, wanita ini masih lagi berebut-rebut apabila orang mengagihkan roti, malah roti yang hampir sampai ke tangan saya dirampasnya.
Arwah mak dan mak teh juga pelik dan kemudiannya menjadikan benda itu satu gurauan, Malah, mak teh ketawa sehingga mengalirkan air mata melihat telatah wanita berkenaan yang disifatkannya sebagai tamak.
Saya difahamkan, wanita berkenaan adalah orang Badwi yang berkunjung ke Madinah pada Ramadan dan roti yang banyak itu disimpan untuk ahli keluarga lain di kampungnya yang beratus batu daripada Madinah. Peliknya, tahan betui perut mereka makan roti berkenaan (bukan saja saiznya besar tetapi dihidangkan di atas lantai ruang legar masjid dan dicampak-campak oleh mereka yang mengedarkannya).
Tapi kenangan roti berkenaan tidak akan saya lupakan sampai bila-bila, lebih manis beribadat bersama arwah mak dan mak teh.
Jumpa lagi ya.








No comments: