Saturday, December 5, 2009

akhirnya wajahmu ku lihat...

Kinabalu jam 7 pagi
Kinabalu jam 6.30 pagi

Kinabalu jam 6 pagi






Assalamualaikum,
Seperti yang dikatakan dalam entri yang lalu, saya memang tidak berhasrat ke Mt Kinabalu kerana sudah dua kali dikecewakan akibat cuaca yang tidak mengizinkan.
Kali ini, hasil ajakan Mr Hubby yang mungkin kesian kepada saya selain faktor cuaca yang sangat menyenangkan maka, kami pun bergerak ke Kundasang.
Kunjungan kali ini disertai kenalan suami sekeluarga yang baru samapai dari Semenanjung malam sebelumnya yang memang berhajat ke Kundasang melihat Kinabalu.
Jadi kira-kira jam 10pagi rombongan dua kereta pun bergerak ke Kundasang. Seperti selalu, selepas setengah jam perjalanan kami singgah juga di petrol pam Petronas (pemandangan tasik di belakangnya sangat cantik- maaf tak ingat nama tempat) untuk mengisi minyak selain membuang air serta shoppe makanan ringan semestinya.
Selepas itu, perjalanan lancar dan pemandangan sepanjang Tamparuli ke Kundasang sangat cantik. Subhanallah, masyallah cantik sangat tetapi saya tak dapat merakamkannya kerana kesuntukan masa untuk naik ke Kundasang.
Namun, pertengahan jalan, Mr Hubby memberikan perkhabaran duka apabila menunjukkan awan hitam yang berarak mendung jauh menuju puncak Mt Kinabalu.
"Nampaknya, tak dapatlah kita melihat Mt Kinabalu lagi," bisiknya. "Pasti boleh, insya'allah," jawab saya.
Semakin tinggi kenderaan kami mendaki, semakin tebal awan berarak mendung kelabu, semakin menghampiri Kinabalu Park semakin gelap dan kabus jadi tebal, akhirnya hujan membasahi bumi begitu juga hujan di wajah saya pun hampir menitis tetapi selagi mahu saya tahan, malu kat anak-anak.
Sampai saja Kinabalu Park hujan semakin lebat dan akhirnya Mr Hubby mengajak terus ke pekan Kundasang dalam lima kilometer di hadapan.Mengurut dada saya, menenangkan jiwa yang kecewa kerana Kinabalu menyorok malu di balik awan.
Mr Hubby cuba memujuk dan mengajak melawat Kundasang War Memorial Park. Dalam gerimis saya dan anak-anak gagahkan juga ke sana, bergambar dan cuba bergembira berlari anak dan berpusing-pusing bergambar dengan kamera telefon.
Selepas makan tengah hari dengan 'sayap ayam' (chiken wing) yang lazat, kami mencari penginapan dan Mr Hubby mencadangkan kami bermalam saja di sana supaya dapat melihat Kinabalu, esok awal paginya.
Selepas berpusing-pusing di Kundasang akhirnya kami memilih Rose Cabin sebagai penginapan. Tido malam tu memang lena dan kami berempat sebelum jam 10 sudah berdengkur kerana kesejukan akibat suhu menurun selepas hujan lebat.
Jam 6 pagi, kaki saya ditarik Mr Hubby. "Bangun-bangun, nak lihat Kinabalu tak?"katanya.
Dalam payah, dengan air liur basi masih melekat dan tahi mata tidak hilang, bingkas bangun saya selepas mendengar nama Kinabalu.
Wau! indahnya tak terucap bagaimana cantiknya puncak Kinabalu di sinari cahaya matahari pagi tepat ke arahnya.
Sambil mengosok mata, saya berbisik pada Mr Hubby 'Kinabalu akhirnya wajahmu ku lihat' . Tersenyum simpul Mr Hubby memandang saya dan bahagianya rasa bersama Mr Hubby menatap wajah Kinabalu pagi itu.
Anak-anak masih tido tetapi dalam jam 6.30 saya kejut kakak suruh dia lihat Kinabalu, adik dikejut tetapi tarik gento dan terus sambung tido, sampai ke sudah dia tak dapat lihat Kinabalu itu.
Jumpa lagi nanti saya ceritakan mengenai kunjungan lain semasa percutian 10 hari di Sabah.
tamat.

No comments: